PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Terbaru, pastinya inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang menganjurkan Pertandingan Akhir Lagu Melayu Antarabangsa 2011, Ahad lalu.
Berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, jam 8.30 malam, seramai 10 orang peserta daripada kalangan pelajar antarabangsa institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini berentap menyanyikan lagu-lagu Melayu.
Terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita, hadiah lumayan disediakan untuk peserta yang menang berupa wang tunai sebanyak RM10,000 untuk juara, RM8,000 (naib johan), RM6,000 (tempat ketiga) dan RM1,000 (sagu hati), trofi serta sijil penyertaan.
Pemilihan pemenang yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita berdasarkan penilaian merangkumi vokal sebanyak 40 markah, persembahan meliputi nyanyian dan sebutan (30 markah), penghayatan (20 markah) dan penampilan (10 markah).
Pemilihan pemenang yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu lelaki dan wanita berdasarkan penilaian merangkumi vokal sebanyak 40 markah, persembahan meliputi nyanyian dan sebutan (30 markah), penghayatan (20 markah) dan penampilan (10 markah).
Barisan peserta berentap adalah Raja Reza Fahlevi dari Indonesia, Nowshin Takashum Promi (Bangladesh), Syafira Ameda (Indonesia), Isara Khanket (Thailand), Chisi N C Zimbudzana (Zimbabwe), Sa Pily (Kemboja), Shehabaddin Gahal Hael (Yaman), Annissa Armarosa (Indonesia), Kim Anastassiya (Kazakhstan) dan Bambang Sulistiono (Indonesia).
Juri profesional yang mengadili peserta pula ialah Damian Mikhail Seet, Sharon Anne Paul, Ong Peng Chu, Asnawi Mutaal dan Datuk Ramli Mohd Salleh (Ramli MS) merangkap ketua juri.
Pentas akhir dimulakan dengan peserta Indonesia. Kemunculan Raja Reza Fahlevi dengan lagu Gemuruh yang pernah dipopular Faizal Tahir nyata berjaya menghangatkan pentas kerana menampilkan persembahan mantap dan bertenaga. Diikuti, Nowshin dengan lagu Cindai yang boleh dianggap percubaan berani.
Biarpun, gaya persembahan Nowshin nampak kaku serta sekadar mengikut lirik yang dihafal, ia tetap percubaan yang baik. Tidak ketinggalan, seorang lagi peserta Indonesia, Syafira Ameda tampil menghiburkan dengan lagu Dan Sebenarnya (Yuna).
Semarak kerancakan persaingan diteruskan peserta Thailand, Isara yang mendendangkan lagu Kau Ilhamku (Man Bai). Apapun, kelainan ditonjolkan peserta Zimbabwe, Chisi yang berdrama dalam persembahannya menerusi lagu balada ‘evergreen’ Belaian Jiwa.
Peserta tunggal dari Kemboja, Sa Pily muncul dengan lagu etnik kreatif, Dondang Dendang yang pernah dipopularkan Noraniza Idris. Tidak dinafikan, vokal Sa Pily sesuai dengan lagu itu dan akhirnya melayakkan dia menjadi juara kategori wanita.
Tidak ketinggalan berentap peserta dari Yaman, Shehabaddin yang mendendangkan lagu Mimpi Laila nyanyian Yassin.
Ternyata, ia pemilihan lagu yang tepat oleh Shehabaddin kerana dia berjaya merangkul kategori Vokal Terbaik dan menerima RM1,000 selain muncul sebagai juara kategori lelaki. Peserta ketiga dari Indonesia, Annissa Armarosa memberikan cabaran sengit dengan lagu Laksamana Di Laut.
Diikuti peserta Kazakhstan, Kim Anastassiya menerusi lagu Asmaradana dengan kostum umpama Puteri Jawa dan menutup persaingan, Bambang dari Indonesia dengan lagu Permaidani (Aris Ariwatan).
Selaku juara kategori lelaki dan wanita, Shehabaddin serta Sa Pily menerima wang tunai RM10,000 setiap seorang. Apapun, empat orang peserta dari Indonesia nyata mengungguli persaingan kerana kesemuanya tidak pulang dengan tangan kosong.
Tempat kedua dan ketiga kategori wanita dimenangi peserta Indonesia iaitu Annisa Armarosa yang menerima RM8,000 serta Syafira Ameda (RM6,000). Begitu juga kategori lelaki dimenangi, Bambang yang meraih RM8,000 di tempat kedua serta Raja Reza (RM6,000, ketiga).
Selain Vokal Terbaik, kategori Persembahan Terbaik menjadi milik Chisi yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000. Selain itu, Chisi, Isara, Nowshin dan Kim juga menerima hadiah sagu hati RM1,000 setiap seorang bersama trofi dan sijil.
Hadiah kepada semua peserta bertanding disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais. Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dan Ketua Pengarah (Penyiaran Strategik) RTM, Datuk Norhayati Ismail.
Sa Pily, 17, berkata, dia sangat terharu dengan kemenangan yang tidak disangkakan itu. Ujarnya, persaingan antara peserta nyata memang sengit kerana masing-masing sudah berusaha berlatih sebaik mungkin namun, nasib nyata menyebelahinya.
“Saya mengambil masa tiga minggu membuat latihan untuk menguasai lagu Dondang Dendang itu. Tak dinafikan, ia agak sukar tetapi saya tanamkan azam mencuba sebaik mungkin,” katanya.
Menurut Sa Pily, dia seronok mempelajari bahasa Melayu kerana sudah terbiasa bertutur dengan bahasa ibundanya. Namun, ujarnya di mana ada kemahuan, pasti di situ akan ada jalan.
Bagi Shehabaddin, 19, pula, dia memilih lagu Mimpi Laila kerana tertarik dengan susunan lagu dan lirik yang indah. Katanya, pada awal dia memilih lagu lain untuk dipertandingkan tetapi pada saat akhir, dia terlintas menukar lagu.
“Seperti peserta lain, saya juga sangat seronok menyertai pertandingan ini dan mewakili Yaman. Lebih bermakna lagi apabila saya dipilih menjadi juara.
“Saya memang suka menyanyi dan berharap supaya boleh menjadi seorang penyanyi suatu hari nanti. Dalam soal ini (jadi penyanyi), saya bersyukur ibu dan bapa sentiasa memberi dorongan,” katanya.
Selain persaingan peserta, penonton juga dihiburkan dengan persembahan mantap daripada artis jemputan seperti Shruti dengan lagu Hanya Di Mercu, tarian tradisional Kazakhstan, Kevin Lau (lagu Sayang Sayang), Najwa Latif (Cinta Muka Buku), Rahim Maarof (medley Cinta Kristal/ Usang) dan Datuk M Nasir (Raikan Cinta).