PENERBITAN FILEM TAIKUN TAHUN DEPAN


DARI jauh kedengaran bunyi orang ramai menjerit dan bertempik. Sebaik dihampiri, kelihatan dua kumpulan gengster diketuai Tai dan Kun dengan tatu di badan sedang bertarung bersama anggota kumpulan masing-masing cuba mengatasi satu sama lain.
Sesekali turut terdengar bunyi seperti palang besi jatuh dan kayu berlaga. Bukan itu saja, beberapa anggota gengster terbabit juga ada yang terbaring, ada yang luka dan mengalami lebam di anggota fizikal.
Selepas beberapa ketika, mereka diarahkan berhenti oleh pengarah, Ismail Bob Hasim. Bukan disebabkan mereka mengalami kecederaan atau terlalu ganas tetapi babak aksi pertarungan yang kurang impak.

Apa yang pasti, Ismail atau Bob, jelas tidak berpuas hati dengan babak ditonjolkan dan mengarahkan mereka melakonkan semula watak pertarungan laluan ‘monsoon drain’ di tepi Sungai Klang, berhampiran Stesen Bas Klang, Kuala Lumpur, baru-baru.


Ini antara sebahagian babak pertarungan membabitkan dua kumpulan gengster, Ros Hitam dan Tedung dalam filem terbaru arahan beliau bertajuk Taikun. Dua kumpulan terbabit bertarung untuk membuktikan siapa lebih berkuasa di kawasan Lembah Klang.

Kata Bob, filem Taikun adalah filem kelapan arahannya dan berbeza dengan kebanyakan dibuat sebelum ini kerana filem ini adalah genre komedi aksi.

“Saya menggunakan dua pelawak iaitu Angah Raja Lawak dan Along Raja Lawak digandingkan dengan watak serius sebagai gengster. Dalam lakonan mereka sebelum ini, penonton melihat mereka membuat aksi komedi tetapi dalam filem ini mereka menggunakan dialog melucukan.

“Pendek kata, banyak babak serius dikomedikan menerusi dialog digunakan. Bagi saya, penekanan terhadap emosi dan ekspresi muka dua pelakon terbabit sangat penting kerana saya tidak mahu ia dibuat-buat.

“Babak mereka bertarung juga memang benar-benar dilakukan dan jangan terkejut ada antara mereka luka, terseliuh dan mengalami lebam-lebam kerana saya mahu aksi pertarungan mereka hidup.

“Apa dimahukan adalah aksi semulajadi dan membiarkan mereka memberikan sepenuhnya semangat dalam jiwa mereka bertarung. Memang saya membuat persiapan rapi sebelum turun padang mengarah filem ini.

‘Antaranya adalah membuat ‘reece’ lokasi digunakan untuk disesuaikan dengan cerita. Sudah tentu tempat tumpuan kumpulan gengster sering bertempur seperti di lorong atau kawasan tidak terurus atau kawasan tumpuan menjual bahan cetak rompak,” katanya.

Kata Bob, dua pelakon memegang watak utama dalam filem ini iaitu Angah dan Along memang dilatih khas seorang pakar seni mempertahankan diri seminggu sebelum turun lokasi bagi melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan selok-belok bergaduh dalam keadaan mendesak.

Mereka juga perlu bertarung dalam babak membabitkan dua kumpulan gengster berkuasa yang terbabit dalam aktiviti penjualan DVD haram dan lucah di sekitar bandaraya.

“Penggambaran dilakukan di sekitar Lembah Klang ini juga bukan mudah memandangkan ia berbeza daripada ‘dark comedy’ pernah dilakukan Angah dalam Nongkrong.

“Lagipun, mereka berdua membawa watak dengan bertutur bahasa berbeza kerana seorang bercakap ala pelat Cina seorang lagi menggunakan bahasa Malaysia yang betul,” katanya.

Bob, 38, yang sebelum ini terbabit dalam arahan filem komedi seperti Alamak Toyol, Nongkrong dan Ngangkung, turut menyatakan rasa tidak sabar melihat filem ini ditayangkan di pawagam tahun depan.

“Seperti kebanyakan filem arahan saya sebelum ini, harapan sudah tentu memberi hiburan visual terbaik kepada pengunjung pawagam. Kutipan RM8.5 juta terhadap filem Ngangkung sebelum ini juga menjadi inspirasi kepada saya dan seluruh kru menjayakan penggambaran filem ini. Sekarang, apa diharapkan penonton akan suka dengan persembahan terbaru saya,” katanya.

Filem Taikun mengisahkan dua sahabat baik dikenali sebagai Tai (Angah) dan Kun (Along) yang mempunyai masalah dengan pihak berkuasa. Sifat mereka suka bergaduh dan mencuri menyebabkan mereka bertembung dengan ahli-ahli Geng Ros Hitam dan Tedung.

Disebabkan Tai dan Kun membelasah kedua-dua ahli geng dengan teruk, ketua Geng Pink, Manan dan ketua Geng Purple, Sarip merasa tertarik dengan kehebatan mereka berdua dan mengajak Tai dan Kun untuk menyertai geng mereka.

Sikap Tai dan Kun yang tamak menyebabkan mereka menerima pelawaan dua-dua geng tanpa pengetahuan ketua geng masing-masing.

Geng Pink dan Geng Purple pula adalah dua musuh ketat dan sering bergaduh. Mereka juga bersaing dalam perniagaan DVD cetak rompak. Kehadiran Tai dan Kun yang kelihatan hebat menyebabkan mereka mendedahkan segala kegiatan mereka dan mengharapkan pada Tai dan Kun untuk membantu mereka supaya menjadi lebih kaya.

Sejak itu, kehidupan Tai dan Kun dilimpahi kemewahan. Kesetiaan Tai dan Kun hanya terletak pada ganjaran wang sebagai habuan.

Namun, Geng Pink dan Geng Purple mula ditimpa masalah yang mana semua kegiatan mereka sering dihidu polis. Masing-masing mula menunding jari menuduh geng lain.

Tapi dalam diam, ada dalang yang membocorkan semuanya dan Tai dan Kun dituduh sebagai dalangnya namun Sarip dan Manan tidak percaya. Siapakah dalang sebenarnya? Apakah yang akan terjadi pada Tai dan Kun? Semuanya akan terjawab dalam filem ‘Taikun’.

shout mix


ShoutMix chat widget
Powered By Blogger